d/a Wat Pracacinaram, Kampung Kulim, 16250 Wakaf Bharu, Kelantan. email: pbwb@time.net.my

Menu Pilihan

Latar Belakang - PBWB

 

Pendahuluan / Latar Belakang

Persatuan Buddha Wakaf Bharu (PBWB), telah ditubuhkan pada 1979 dan didaftarkan secara rasmi pada 18 Ogos 1980. Penubuhan persatuan ini adalah daripada kesedaran dan kesungguhan para belia Buddhis sekitar Kelantan khasnya dari Wakaf Bharu bertujuan untuk memenuhi keperluan, perhubungan pendidikan agama dan akademik masyarakat Buddhis yang menjadikan bahasa Malaysia sebagai bahasa pengantar.

Penubuhan PBWB ini pada peringkat awalnya menerima tentangan khasnya daripada golongan tua, tetapi akibat daripada segala aktiviti yang dijalankan adalah berasaskan kepada matlamat asal penubuhan serta telah mendatangkan kesan positif, sokongan moral mula diberikan. Oleh yang demikian semenjak didaftarkan, persatuan ini telah berkembang maju dari aspek keahlian dan kegiatannya.

Sebagai sebuah persatuan yang baru ditubuhkan, sudah tentu tidak mempunyai kemudahan dan keperluan yang sepatutnya. Oleh yang demikian persatuan ini telah menjadikan Dewan Orang Ramai Wat Pracacinaram, Kampung Kulim sebagai ibu pejabat sementara dan juga pusat kegiatan, khasnya kegiatan keagamaan sehinggalah kini. Wat ini memainkan peranan yang penting terhadap keperluan masyarakat Buddhis di sekitar Kelantan, khasnya di kawasan Wakaf Bharu dalam memenuhi bukan sahaja dari segi keperluan beragama, tetapi juga untuk menjadikannya sebagai tempat untuk berbincang dan menyelesaikan masalah keperluan sosio dan ekonomi mereka. Segala aktiviti yang membina yang dilakukan oleh PBWB mendapat sokongan yang padu daripada Ketua Bhikkhu Wat Pracacinaram pada masa itu, yang dikenali dengan Than Phum kerana beliau mempunyai pandangan yang jauh ke depan, khasnya dalam memajukan diri dalam pendidikan agama dan sekular.

 

Kegiatan

PBWB merupakan sebuah persatuan yang aktif, ke arah meningkatkan taraf pendidikan, pengetahuan agama Buddha, ekonomi dan sosio-budaya masyarakat Buddhis setempat. Antara aktiviti-aktiviti utama persatuan ini ialah:

  • Mengurus dan melaksanakan Kelas Dharma Jumaat dalam bahasa Malaysia di negeri Kelantan.

  • Mengurus dan melaksanakan kelas bimbingan untuk pelajar-pelajar PMR, SPM dan STPM.

  • Sebagai pusat sumber akademik dan agama Buddha dalam bahasa Malaysia dan diedarkan secara percuma ke seluruh negara.

  • Menerbitkan buku atau risalah agama Buddha dalam bahasa Malaysia dan diedarkan secara percuma.

  • Menganjurkan aktiviti-aktiviti keagamaan, kemasyarakatan dan budaya kepada masyarakat Buddhis Kelantan. Pihak PBWB setakat ini telah mengadakan sebanyak 5 kali kursus Pendidikan Agama Buddha bagi belia-belia Buddhis sebagai tenaga pengajar di kelas-kelas Dharma di sekitar perkampungan cina peranakan di Kelantan.

 

Permasalahan

PBWB mengalami kekurangan tabungan untuk membiayai aktiviti-aktiviti yang dijalankan. Sebagai contohnya pihak persatuan masih tidak mempunyai markas operasi, tidak mempunyai kemudahan perpustakaan yang sempurna dan keperluan asas fizikal yang sepatutnya. Perlaksanaan aktiviti-aktiviti di atas memerlukan peruntukan relatif yang tinggi.

Perlaksanaan aktiviti PBWB sehingga kini hanya melibatkan sebahagian kecil ahli. Oleh yang demikian, pihak persatuan terpaksa memohon bantuan dan sokongan sukarela daripada pelbagai pihak sama ada individu mahupun pertubuhan sukarela.

Perlaksanaan kegiatan dan projek PBWB agak luas tersebar bukan sahaja di seluruh Kelantan, tetapi juga sehingga ke luar Kelantan, tetapi sayangnya masih ada masyarakat Buddhis Kelantan yang tidak sedar dan mengetahui segala aktiviti tersebut serta kepentingannya.

 

Latar Belakang - Kelas Dharma Jumaat

 

 

 

Send mail to pbwb@time.net.my with questions or comments about this web site.
Last modified: 30 March, 2003